Menjadikan Setiap Hembusan Nafas Pada Keredhaan Allah

Telah berkata guru saya, Ustaz Fakhrullah Bin Zamri – semoga Allah SWT memberikan manfaat kepada kita melaluinya – dalam kitabnya bertajuk Syarah Wasiat Siddiqiah bahawa gurunya berkata:

“Dan saya berpesan kepada dirimu agar menjadikan setiap hembusan nafas pada keredhaan Allah.”

Maksudnya adalah kita perlu menjaga diri dalam setiap perbuatan, fikiran dan keinginannya daripada melakukan perkara yang tidak diredhai oleh Allah SWT.

Setiap hembusan nafas merupakan permata berharga yang tidak ada gantinya di mana sekiranya dimanfaatkan, ia mampu memberi kenikmatan selama-lamanya.

Imam Al-Ghazali rahimahullah dalam kitab Ihya’ ‘Ulumiddin berkata: ‘Waktu yang terbuang atau yang disia-siakan terhadap perkara yang membawa kepada kebinasaan merupakan suatu kerugian yang amat besar. Tidak mungkin ia dilakukan oleh orang yang berakal.’

Wajib ke atas setiap orang agar memelihara nafasnya dengan tidak menggunakannya pada perkara yang tidak diredhai oleh Allah SWT kerana Dia mempunyai hak ke atas setiap nafasmu. Sekiranya kamu tidak memeliharanya, nescaya kamu telah mengabaikan hakNya yang merupakan nikmat yang besar daripada Allah SWT untuk dirimu.

Rasulullah SAW bersabda: ‘Antara kebaikan Islam seseorang ialah dia meninggalkan sesuatu yang tidak penting (yang tidak ada kaitan) buat dirinya.’

Imam Al-Syafi’e berkata: ‘Saya telah berdamping dengan kaum sufi lalu saya mendapat dua faedah daripadanya iaitu; Pertama, masa umpama pedang. Jika kamu tidak memotongnya nescaya ia akan memotongmu, dan (yang kedua) sekiranya dirimu tidak disibukkan dengan kebenaran nescaya kamu akan disibukkan dengan kebatilan.’

Telah berkata guru saya, Ustaz Fakhrullah Bin Zamri – semoga Allah SWT memberikan manfaat kepada kita melaluinya – bahawa gurunya berkata:

‘Maka, manfaatkanlah setiap nafasmu dengan berzikir pada setiap detik, dan janganlah kamu memperdulikan kata-kata orang yang lalai.’

Leave a comment