Telah berkata guru saya, Ustaz Fakhrullah Bin Zamri – semoga Allah SWT memberikan manfaat kepada kita melaluinya – dalam kitabnya bertajuk Syarah Wasiat Siddiqiah bahawa gurunya berkata:
“Saya berpesan kepada kamu agar bertaqwa kepada Allah.”
Taqwa adalah apabila seseorang hamba berlindung daripada perkara yang ditakuti dengan mentaati segala perintah Allah dan meninggalkan perkara yang dilarangNya.
“Bertaqwalah kamu kepada Allah, nescaya Dia akan mengajar kamu.”
Al-Baqarah, 282
Maksud bagi ayat di atas adalah takutilah akan kemurkaan Allah bagi yang melakukan maksiat dan melanggar perintahNya. Itulah yang harus ditakuti kerana seseorang yang melanggar perintahNya akan menyebabkan dia diseksa di dunia dan akhirat.
Daripada Abu Zhar ra. dalam Sahih Ibnu Hibban:
“Saya hairan terhadap orang yang meyakini bahawa neraka itu benar, akan tetapi ia masih mampu ketawa dan saya hairan orang yang meyakini wujudnya hari perhitungan amalan kelak, akan tetapi tidak beramal untuk menghadapinya.”
Justeru, taqwa merupakan asas bagi segala kebaikan, jalan menuju keredhaan, rahmat dan pengampunanNya serta benteng bagi menahan azabNya.
Abu Zhar ra. berkata kepada Rasulullah SAW: “Nasihatilah saya.”
Lalu baginda bersabda:
“Saya menasihati kamu agar bertaqwa kepada Allah kerana ia benar-benar merupakan tunjang bagi segala perkara.” (HR. al-Tabrani dan Ibnu Hibban).
Rasulullah SAW tidak pernah berkhutbah melainkan baginda akan berpesan agar bertaqwa kepada Allah SWT. Taqwa seseorang tidak sempurna syarat-syaratnya sehinggalah ketaqwaan itu terjadi ketika seseorang itu bersendirian dan bersama orang lain. Ini sebagaimana yang pernah Nabi SAW berpesan kepada Abu Zhar ra.:
“Saya mewasiatkan kamu agar bertaqwa kepada Allah ketika kamu bersendirian dan di khalayak ramai.” (HR. lmam Ahmad).
Adapun taqwa kepada Allah ketika di khalayak ramai tetapi meninggalkannya ketika bersendirian dan ketika tidak dlihat manusia, itu merupakan taqwa orang munafik.
Leave a comment