Meninggalkan perkara yang mengundang kerugian

Telah berkata guru saya, Ustaz Fakhrullah Bin Zamri – semoga Allah SWT memberikan manfaat kepada kita melaluinya – dalam kitabnya bertajuk Syarah Wasiat Siddiqiah bahawa gurunya berkata:

“Dan meninggalkan perkara yang mengundang kerugian.”

Dalam tajuk sebelum ini, saya telah mengingatkan diri saya dan pembaca semua agar bertaqwalah kepada Allah SWT. Maka haruslah kita tinggalkan perkara yang menghalang diri kita dari mendapat segala nikmat kurniaan Allah dan rahmatNya. Banyak perkara yang menyebabkan kita terhalang dari mendapat rahmat Allah. Antaranya lalai dalam menghadapkan diri kepadaNya, meninggalkan ketaatan, serta malas untuk beribadah kepadaNya.

Apabila kita meninggalkan khidmat dan malas untuk melaksanakan perintah Allah, maka dia akan terhalang daripada mendapat nikmat dan rahmat Allah yang dikurniakan kepada orang-orang soleh.

Guru saya telah berkata:

“Sesungguhnya meminta pertolongan tanpa melakukan persediaan umpama bermusafir tanpa bekalan.”

Sebuah permusafiran yang tidak mempunyai bekalan dan tunggangan akan menyebabkan seseorang itu gagal untuk sampai ke destinasi dan tujuan permusafiran. Begitulah juga orang yang berjalan menuju Allah akan gagal untuk mendapatkan anugerahNya jika tidak mempunyai bekalan wirid dan menghadapkan sepenuh hati kepadaNya serta kesungguhan dalam beribadah.

Diriwayatkan daripada Saidina Anas ra. berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Lakukanlah kebaikan pada usia kalian serta berusahalah mendapatkan anugerah rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mempunyai anugerah daripada rahmatNya yang Dia kurniakan kepada sesiapa yang dikehendaki dari kalangan hambaNya.”

Hadis di atas Baginda memerintahkan agar melakukan kebaikan dalam usia kita agar memperoleh anugerah Tuhan kerana ia tidak diperolehi kecuali dengan mengerjakan kebaikan serta sentiasa menumpukan diri kepada Allah iaitu dengan bersungguh-sungguh dalam mengerjakan ibadah.

Rasulullah SAW bersabda:

“Tidaklah disesali oleh ahli syurga (ketika di syurga kelak) melainkan masa yang terluput di dunia tanpa berzikir kepada Allah.” (HR. al-Tabrani dan al-Baihaqi)

Kekesalan ini adalah akibat dia tidak mengamalkan wirid serta tidak beramal untuk mendapatkannya ketika di dunia sebagai persediaan untuk dia menghadapi hari akhirat.

Leave a comment